Sejak beberapa minggu ini Guan Eng telah disumpah dengan haba-haba yang panas. Isu yang diciptakan begitu hebat dan penuh realiti. Hingga pertahanan Guan Eng juga roboh dan terpaksa menjawab isu-isu seperti isu pembayaran RM100.00 kepada warga emas dan golongan miskin dengan mengunakan duit sumbangan dari sumber judi. Persoalannya adakah benar Guan Eng akan mengalah ataupun Guan Eng akan membiar isu yang mempersoalkan integritinya dibiarkan tanpa jawapan yang tepat. Pak Zad nampak macam sesuatu yang tak kena. Takkan Guan Eng yang merupakan seorang akauntan tidak teliti dalam kerja-kerjanya. Setahu Pak Zad, Guan Eng amat bijak dan amat berhati-hati dalam setiap gerak dan langkahnya yang kadang-kadang disalah baca oleh musuh-musuhnya.
Bagi Pak Zad tidak semudah itu Guan Eng menyerah kepada serangan-serangan yang dibuat oleh musuhnya seperti UMNO. Kita cuba bayangkan mudah sangat surat rasmi kerajaan negeri yang menjadi bukti kepada kebenaran kerajaan negeri menerima sumbangan wang judi untuk dana membasmi kemiskinan di dapati oleh musuh-musuh politiknya. Mudahnya pula Guan Eng menjawab isu tersebut, dengan menyatakan kebenarannya dan juga menafikan ia digunakan oleh orang-orang Islam. Kita kemudiannya akan menanti apa pula jawapan musuh-musuh Guan Eng, selepas jawapan yang diberikannya.
Pak Zad sedang berfikir, apa sebenarnya yang sedang berada di minda Guan Eng ketika ini. Apa yang sedang cuba Guan Eng “lakonkan” dalam isu yang direka khas olehnya. Pak Zad tidak fikir yang apa yang dipolimikkan sekarang adalah isu yang sebenar yang sedang dibawa oleh Guan Eng, walaupun seolah-olah dalam isu ini Guan Eng telah tewas dan terpaksa mengalah dengan mengaku yang kerajaan negeri mengunakan dana tersebut. Tetapi ada isu dan perkara lain yang sedang dimainkan oleh Guan Eng yang perlu kita teliti secara halus. Pak Zad masih teringat kata-kata Sun Tzu dalam buku “The Art of War”, “Kenali musuh dan kenali diri anda sendiri; anda tidak akan tewas meskipun dalam seratus pertempuran, Serang apabila musuh tidak berkawal untuk bertempur secara mengejut, Tewaskan musuh anda secara mengejut,” .
Mungkin kata-kata Sun Tzu, adalah perkara yang sedang distrategikan di dalam minda Guan Eng, iaitu Guan Eng mempunyai satu agenda strategi politik yang sedang dicorakkan olehnya. Yang jelas sekiranya ia adalah satu strategi maknanya UMNO sudah masuk perangkap Guan Eng. Iaitu Guan Eng membina satu suasana “yang leka” kepada UMNO kerana pada ketika ini seolah Guan Eng sudah diserang dan pertahanan Guan Eng sudah roboh, dan seolah-olah UMNO telah berjaya untuk merosakkan imej Guan Eng dimata orang-orang Islam dan orang-orang Melayu.
Maknanya strategi yang mungkin cuba dibuat oleh Guan Eng pada ketika ini ialah membina keyakinan untuk pengundi Cina dan hilangnya pengaruh dari pengundi-pengundi Melayu dan pengundi Islam. Jika kita lihat kepada realiti politik Pulau Pinang, DAP mendapat undi pengundi Cina melebihi 70 peratus daripada Gerakan atau MCA yang tiada satupun kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sejak PRU 12. Jadi mungkin apa yang dilakukan oleh Guan Eng ketika ini ialah formula untuk mengekalkan undi popular DAP dan kepimpinan Guan Eng dimata pengundi-pengundi Cina kerana Guan Eng tahu kuasa undi Cina adalah penentu kepada strategi untuk mengekalkan kuasa DAP di Pulau Pinang didalam PRU 13.
Apa yang Pak Zad katakan diatas hanya “satu kemungkinan”, selepas Pak Zad buat analisa minda Guan Eng, beliau adalah seorang pimpinan DAP yang amat bijak dalam mengatur strategi politik dan ini juga menjawab kenapa dan mengapa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang telah mengaku bahawa DAP akan tetap memerintah Kerajaan Pulau Pinang dalam PRU 13. Walaupun ia satu kemungkinan tapi Pak Zad yakin apa yang Pak Zad analisa di atas ada asasnya.
Bagaimana pula dengan pengundi Melayu dan pengundi Islam, tidakkah strategi Guan Eng, DAP akan kehilangan undi pengundi Melayu dan Islam? Memang benar ada asasnya kerana daripada respond “grass root” strategi yang berlaku, ia telah membina suasana ketidak keyakinan orang Melayu dan Islam pada kerajaan negeri. Tetapi Pak Zad yakin Guan Eng sudah membaca minda dan hati nurani pengundi-pengundi Melayu yang tidak ”consistent” dan tidak “sustain” dalam tindakan-tindakan mereka. Suasana anti Guan Eng dan DAP hanya wujudkan pada masa jangka pendek dan ia akan tamat pada bila-bila masa dan orang-orang Melayu kemudian terus melupakan yang satu ketika mereka amat anti Guan Eng dan DAP. Guan Eng tahu kelemahan yang ada pada orang Melayu dan orang-orang Islam ini, kerana bagi Guan Eng, orang Melayu Pulau Pinang tetapi akan memberi undi yang rasional apabila sampai masa yang sesuai.
Pada masa ini keutamaan Guan Eng dan DAP, ialah mahukan undi popular dari pengundi-pengundi Cina . Yang jelas Guan Eng dan DAP telah berjaya. Guan Eng tahu sampai masanya nanti kuasa luar biasa yang ada pada Anwar Ibrahim boleh menjadi besi berani yang menarik kembali pengundi Melayu kepada kerajaan negeri. Guan Eng tiada masalah pada masa ini, kerana telah berjaya mengekalkan undi popular pengundi Cina kepada DAP dan yang paling jelas Guan Eng telah berjaya menghancurkan Gerakan dan MCA dalam persaingan untuk mendapat undi pengundi-pengundi, hingga Gerakan dan MCA terpaksa mengunakan strategi yang sama dengan DAP dalam usaha mereka untuk mendapat undi daripada pengundi-pengundi Cina.
Sebagai renungan Pak Zad suka memetik kata-kata Sun Tzu –“Apabila berada dekat dengan medan pertempuran, mereka menunggu musuh yang datang dari jauh ,semasa berehat, mereka menanti musuh yang keletihan, dengan tenteranya yang kekenyangan, mereka menanti musuh yang kelaparan... Jauhi musuh yang semangat juang mereka berkobar-kobar dan serang apabila mereka lemah semangat dan rindukan kampong halaman....Jangan serang musuh yang mara dengan panji-panji yang cukup teratur mahupun musuh yang barisannya tenteranya tersusun rapi.” Mungkin inilah yang strategi yang sedang bermain di minda Guan Eng dan yang jelas isu duit judi tidak mengugat Guan Eng dan DAP di Pulau Pinang.