Showing posts with label MIC. Show all posts
Showing posts with label MIC. Show all posts

Tuesday, September 7, 2010

DAP DAN PERJUANGANNYA

Dalam memperlihat perjuangan DAP pada masa sekarang, Pak Zad akan memetik beberapa kenyataan pemimpin-pemimpin DAP, sebagai renungan dan pembaca boleh membuat analisa sendiri, terutama perjuangan “Malaysian Malaysia” yang pada masa ini di silence kan seketika, tetapi dari tindakan-tindakan mereka, DAP sedang melaksanakan konsep itu secara tersirat.

Petikan 1

“DAP merasa bangga kerana perjuangan Malaysian Malaysia (Malaysia milik rakyat Malaysia) yang diperkenalkan adalah cita-cita yang murni dan masih relevan pada hari ini. Oleh sebab itu DAP menawarkan perjuangannya kepada semua rakyat Malaysia sebab kita semua mempunyai satu masa depan yang sama. Sebagai negara majmuk, Malaysia tidak dimiliki oleh mana-mana satu kaum dan tidak ada satu kaum harus menganggap mereka sahajalah rakyat Malaysia. Sepanjang 40 tahun ini, DAP cuba mengembangkan impian Malaysian Malaysia ini, walaupun parti menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.” (Chow Kon Yeow Pemimpin DAP Pulau Pinang,2006)

Petikan 2

“Sempena ulang tahun 40 ini, DAP telah membawa kesinambungan perjuangan Malaysian Malaysia dengan memperkenalkan “Utamakan Malaysia” sebagai pendekatan untuk mencapai matlamat perpaduan nasional dan kemakmuran ekonomi bagi semua rakyat Malaysia. DAP masih menganggap bahawa perpaduan nasional tidak akan dapat dicapai berdasarkan unsur kaum dan agama tetapi atas identiti bersama berdasarkan kepada prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, keadilan, integriti dan martabat insan” (Chow Kon Yeow pemimpin DAP Pulau Pinang,2006)

Petikan 3

“Kita mesti mengenepikan cara menyatupadukan rakyat menerusi bangsa dan agama. Kita mesti anggap semua adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia. “Utamakan Malaysian” memastikan kebahagiaan dan kemakmuran ekonomi kepada semua dan jangan hanya kepada konco-konco tertentu sahaja” (Lim Guan Eng,2006)

Petikan 4

“DAP berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu Negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen” (PERISYTIHARAN SETAPAK, dibuat pada kongres Kebangsaan DAP pertama di Setapak, Kuala Lumpur pada 27 Julai 1967)

Petikan 5

“Masanya telah tiba untuk rakyat Malaysia menentukan sama ada mereka mahu kembali kepada idealisme dan isi asal Perlembagaan Merdeka 1957 atau rela ditekan di bawah undang-undang yang semakin menyekat hak asasi dan kebebasan. Idealisme dan isi asal Perlembagaan Negara memberi jaminan perlindungan hak dan kebebasan kepada rakyat Malaysia berasaskan hak saksama dan keadilan.Hanya dengan mengembalikan hak dan kebebasan ini yang telah dijamin oleh Perlembagaan Merdeka,barulah kita dapat memastikan impian sebenar setiap rakyat Malaysia untuk hidup bebas merdeka dapat direalisasikan” (Lim Guan Eng, 2006)

Petikan 6

“Impian kehidupan bebas merdeka yang dilindungi oleh undang-undang adil harus berasaskan kepada :

i. Perpaduan Nasional tulen yang tidak berlandaskan kaum atau agama tetapi berasaskan nilai-nilai yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia;

ii. Peluang saksama;

iii. Pentadbiran demokratik dan amalan kedaulatan undang-undang(rule of law)

iv. Penciptaan kekayaan dan pengagihan yang adil dan

v. Perang terhadap korupsi,penyelewengan,rasuah dan penyalahgunaan kuasa”

( Guan Eng,2006)

Petikan 7

“Kontrak sosial semua kaum di Malaya menjelang 1957 adalah hasil usaha bersama semua pihak untuk mewujudkan Negara merdeka, sekular, mengamalkan hak asasi, menghormati hak-hak politik dan ekonomi setiap warganegara yang ditadbirkan oleh kedaulatan undang-undang (rule of law). Kontrak sosial itu adalah berasaskan intipati Laporan Suruhanjaya Reid yang menjadi batu asas Perlembagaan Malaya Merdeka” (Lim Guan Eng,2006)

Petikan 8

“Malangnya, pemerintahan Perikatan (dan kemudiannya BN) telah mencabul idealisme dan isi asal Perlembagaan ini dan kontrak sosial 1957 dengan meminda Perlembagaan Persekutuan sehingga ia tidak lagi melindungi hak dan kebebasan rakyat. Perlaksanaan DEB mulai tahun 1970 dengan pada mulanya bertujuan membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang di antara kaum, bukan sahaja telah mencabul kontrak sosial, malah mengukuhkan keistimewaan satu kaum sehingga menjadi “hak” sedangkan ia cuma sebagai ‘tongkat’ sementara sahaja” (Lim Guan Eng ,2006)

Petikan 9

“Perlembagaan 1957 adalah satu dokumen sekular yang lengkap dengan idealisme demokrasi, rule of law, kebebasan dan harga diri serta maruah insan. Jika kita kembali kepada prinsip asas Perlembagaan Merdeka ini, kita boleh bergerak maju ke arah di mana pembangunan ekonomi dan demokrasi boleh bergerak bersama-sama; dimana kebebasan bererti tiada lagi sekatan hak dan penindasan; di mana peluang saksama menjadi pilihan berbanding hasil saksama secara paksaan; di mana rule of law memastikan keadilan sosial; di mana penciptaan kekayaan diiringi oleh pengagihan kekayaan yang adil dan di mana kemakmuran ekonomi tidak bererti korupsi yang menjadi-jadi” (Lim Guan Eng,2006)

Petikan 10

“Dengan mengunakan kaum dan bangsa, Kerajaan Pusat Malaysia telah tidak memperdulikan nasib orang miskin bukan Melayu, termasuk kaum India yang mana sesetengah orang India miskin lebih melarat hidup dari kaum Melayu miskin” (Lim Guan Eng,2006)

Petikan 11

“Penyelesaian terbaik adalah kecemerlangan dan meritokrasi kerana ia menjamin kemakmuran untuk semua pihak. Kecemerlangan dan meritokrasi bererti Malaysia mendapat yang terbaik. Tanpa mengira kaum dan agama, sekolah, universiti, jabatan dan agensi kerajaan dan institusi lain akan mendapat tenaga kerja yang terbaik melalui meritokrasi” (Lim Guan Eng,2006)

Petikan 12

“Pemimpin-pemimpin DAP yang memulakan perjuangan DAP dengan slogan “Malaysian Malaysia” telah pun mengemaskinikan pendirian mereka dengan suara baru “Utamakan Malaysian” yang diterima pakai sewaktu sambutan ulang tahun parti ke-40 pada 2006” (Wan Hamidi Hamid, 2009)

Petikan 13

“bahawa “Utamakan Malaysian” bertujuan untuk mengagalakkan rakyat Malaysia berbangga sebagai warganegara Malaysia yang menolak politik perkauman” ( Dr Boo Cheng Hou,Pemimpin DAP Johor,oktober 2006)

Petikan 14

“Sejak Merdeka, parti-parti perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC membolot kuasa dalam bidang politik. Walaupun UMNO, MCA dan MIC mengaku memperjuangkan kaum masing-masing, BN sebenarnya berfungsi sebagai jentera hegemoni UMNO. Isu Melayu dipinggirkan di bawah hegemoni yang dibangkitkan baru-baru ini akan menghalang perpaduan kebangsaan di samping akan menghalang perpaduan kebangsaan di samping akan menegakkan semula sifat BN yang sering mengapi-mengapi konflik perkauman untuk memperkukuhkan kedudukan pemerintah UMNO dan BN berdasarkan ‘pecah dan perintah’ (Dr Boo Cheng Hou,2006)

Petikan 15

“Sejak penubuhan parti,DAP tidak pernah memikirkan untuk menyertai BN kerana terlalu banyak asas perbezaan polisi di antara DAP dan BN. DAP tidak dapat menerima polisi BN yang membezakan rakyat Malaysia sebagai Bumiputra dan bukan Bumiputra” (Loke Siew Fook,2002)

Petikan 16

“Ini tidak bermaksud bahawa DAP anti-orang Melayu tetapi apa yang diperjuangkan oleh DAP ialah sebuah Negara berbilang kaum, bahasa dan agama yang rakyatnya menikmati hak yang sama-rata dan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan berasa mereka adalah anak Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP telah diiktirafkan oleh BN apabila Perdana Menteri (Dr Mahathir) sendiri mengumumkan wawasan 2020 yang matlamat utamanya ialah melahirkan sebuah Bangsa Malaysia. Namun, Bangsa Malaysia yang ingin kita lahirkan tidak akan menjadi matlamat sekiranya masih terdapat polisi yang membahagikan rakyat kepada dua kelompok dan mendapat layanan yang berbeza” (Loke Siew Fook,2002)

Kesemua petikan-petikan di atas, di nyatakan dalam sembang Pak Zad kali ini adalah untuk meminta para peminat politik DAP untuk membuat analisa sendiri, adakah slogan “Malaysian Malaysia”, ”Utamakan Malaysia” dan “Middle Malaysia” adalah benda yang sama ataupun mungkin juga slogan-slogan yang dicipta oleh DAP adalah strategi awal untuk memenangi hati pengundi Cina sebelum berkuasa seperti di Pulau Pinang dan selepas berkuasa mereka terpaksa menukar strategi baru iaitu cuba memenangi bukan saja pengundi Cina tetapi juga pengundi “the Majoriti” iaitu orang-orang Melayu dan orang–orang India dan juga adalah sebagai strategi untuk mengekalkan kuasa ataupun DAP juga berhasrat untuk mengembangkan kuasa mereka sehingga ke Putrajaya.

Mungkin kata-kata Guan Eng dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 28 Julai 2008 boleh di buat renungan, katanya “Bukannya seperti sistem BN di mana orang Melayu hanya bantu orang Melayu di UMNO dan orang Cina bantu orang Cina di MCA atau orang India bantu orang India di MIC tetapi di mana sistem politik berwajah baru di mana orang Melayu bantu India dan orang Cina bantu orang Melayu di antara satu sama lain di bawah naungan Pakatan Rakyat”.

Tuesday, September 29, 2009

PILIHANRAYA BAGAN PINANG : TRANSFORMASI PEMIKIRAN PENGUNDI-PENGUNDI CINA DAN INDIA BAGAN PINANG.

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang akan menjadi penentu kepada persoalan samada pengundi mengundi berdasarkan kepada sentimen persekitaran domestik ataupun persekitaran luaran. Maksudnya ialah samada pengundi Bagan Pinang akan terpengaruh dengan isu-isu kempen dalaman iaitu persekitaran Bagan Pinang (lokaliti) ataupun mereka terpengaruh dengan isu-isu luaran iaitu nasional.

Dari apa yang dinyatakan melalui kenyataan pemimpin-pemimpin politik samada Barisan ataupun Pakatan Rakyat, semua isu-isu samada domestik atau luaran akan menjadi isu-isu utama di dalam kempen mereka. Strategi parti-parti politik ialah untuk menghangatkan persekitaran, mereka perlu memainkan isu-isu ini, tetapi yang paling disukai oleh para strategis parti-parti politik ialah isu-isu luaran seperti isu nasional diluar dari Bagan Pinang.

Maknanya pengundi-pengundi Bagan Pinang perlu bersedia dengan ketahanan yang kuat kerana momentum kempen yang sudah bermula. Para pengundi akan dihidangkan dengan isu-isu sensitif berdasarkan kaum kerana undinya nanti adalah berdasarkan kaum. Contohnya pengundi Cina akan dihidangkan tentang janji masa depan yang diciptakan oleh Pakatan Rakyat iaitu keadilan untuk semua dan ketuanan Malaysia. Sudah tentunya ia satu cabaran yang hebat kepada MCA dan Gerakan untuk membalas hujah untuk memenangi hati pengundi Cina. Dari segi daya penarik sudah tentu strategi kempen DAP dan PKR Cina lebih menarik dan maju ke hadapan kerana janji tersebut adalah sesuatu yang mereka sedang tunggu. Tidak hairanlah PAS pada pilihanraya yang lepas mendapat 56% undi Cina dan Barisan hanya mendapat 44%.

Dalam konteks ini bolehkah pengundi Cina membina satu “ transformasi” dari mengundi berdasarkan emosi dan fanatik kepada mengundi yang berdasarkan rasionaliti dan realiti sejarah. Transformasi ini amat diperlukan kerana pengundi Cina juga perlu melihat isu-isu domestik yang berlaku di Bagan Pinang yang stabil dan tidak diracun oleh pemikiran luar. Pertimbangan ini amat penting dan untuk membuktikan pengundi Cina mengundi berdasarkan rasionaliti dan bukan emosi. Tetapi persoalannya bolehkah ia dibuat oleh MCA atau Gerakan, jawapan ialah mereka tak mampu. Oleh itu transformasinya amat sukar tetapi kita masih percaya dan yakin pengundi Cina di Bagan Pinang adalah bijak dan boleh menilai sebelum mengundi.

Pengundi-pengundi India juga memerlukan satu transformasi pemikiran untuk menentukan siapa yang mereka akan mengundi samada Barisan ataupun Pakatan Rakyat. Tetapi apabila dilihat berdasarkan “mood” yang bertiup, pengundi India akan lebih tertarik kepada PKR India yang sentiasa meniupkan lagu-lagu survival masyarakat India yang didakwa masih tertindas dan MIC gagal dalam menjaga masa depan masyarakat India. Maknanya pengundi India masih sukar untuk di transformasikan.

MIC mugkin tidak mampu untuk mengubahkan pemikiran tersebut kerana MIC sendiri juga dalam proses untuk di transformasikan. Jadi apa yang boleh di buat ialah jangan biarkan pengundi India yang mempunyai lebih 20% undi menjadi teman PKR India. Mungkin tindakan PEMUDA UMNO untuk mengerakkan jenteranya ke kawasan estet yang bermajoriti kaum India amat baik. Sekiranya MIC tak mampu mungkin UMNO boleh membantu terutamanya untuk memberi penjelasan kepada pengundi India. Ini boleh memberi satu ruang baru kepada pengundi India untuk mendapat maklumat yang betul daripada UMNO yang dijadikan Kambing Hitam oleh Pakatan Rakyat. Maknanya tranformasi pengundi India agak sukar tetapi tidak semestinya mereka tidak boleh berubah.

Mungkin kenyataan Ketua Puteri Sabah boleh menjadi sesuatu pendekatan yang boleh menggerakkan proses transformasi tersebut, katanya “pendekatan ‘satu dengan satu‘ iaitu mendengar masalah rakyat dan cuba mengatasinya akan terus digunakan di Bagan Pinang kerana ia berkesan dalam mendekati pengundi dan menjelaskan dasar kerajaan BN”.Katanya lagi “Dengan mendengar luahan hati pengundi dan menjelaskan kekeliruan yang membuatkan mereka ragu-ragu memilih BN, mereka akan lebih memahami kebaikan kerajaan BN”. Ini mungkin jawapannya samada pengundi Cina atau India boleh ditransformasi pemikiran mereka.

Saturday, September 26, 2009

PILIHANRAYA KECIL BAGAN PINANG : APA YANG ADA DI DALAM PEMIKIRAN SALAHUDDIN AYOB ,PENGARAH PILIHANRAYA KECIL BAGAN PINANG.

Salahuddin Ayob telah dilantik oleh PAS dan Pakatan Rakyat sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, yang sudah tentu menjadi orang yang paling penting untuk jentera Pilihanraya PAS dan Pakatan Rakyat. Beliau juga adalah “the master mind” dalam mengatur strategi untuk PAS dan Pakatan Rakyat di Bagan Pinang. Oleh itu setiap kenyataan beliau perlu di teliti dan perlu dibaca secara terperinci.

Pak Zad akan cuba membaca apakah yang ada di dalam pemikiran Salahuddin Ayob, berdasarkan kepada kenyataan yang beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat keluarkan dalam beberapa minggu ini. Pembacaan pemikiran beliau sangat penting kerana ia akan membawa kita kepada apakah strategi yang beliau akan gunakan untuk dilaksanakan oleh jentera PAS dan Pakatan Rakyat. Pak Zad jangka ada 3 perkara penting dan utama yang ada di pemikiran Salahuddin Ayob pada masa ini,yang juga beliau nanti akan terjemahkan ke dalam strategi perlaksaan untuk mengerakkan jentera pilihanraya PAS dan Pakatan Rakyat.

a. PEMIKIRAN SALAHUDDIN AYOB 1 : STRATEGI UNTUK MELEMAHKAN CALON BN.

Yang ada di dalam fikirannya ialah beliau mahukan calon BN adalah calon yang ada masalah dan masalah ini sudah tentu akan dieksploitasi oleh jentera PAS dan Pakatan Rakyat. Oleh itu jawapan kepada mengapa PAS amat beria-ia sangat untuk mempertahankan Isa Samad sebagai calon BN adalah kerana faktor ini. Jadi di dalam pemikiran Salahuddin Ayob mereka perlu mengunakan psikologi untuk mempastikan Isa Samad bertanding dan sekiranya Isa Samad bertanding, bagi Salahuddin Ayob, beliau akan jadikan Isa Samad sebagai medan “pendedahan etika” sama seperti di pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan Permatang Pasir. Pemikiran ini mungkin telah dibaca oleh para strategis BN, tetapi sudah tentu Salahuddin Ayob juga sudah bersedia dengan strategi untuk melemahkan calon dengan cara yang lebih “advanced”.

Bagi Salahuddin Ayob,dengan strategi ini, calon BN akan sentiasa dalam keadaan defensif dan terpaksa mempertahankan diri. Akhirnya ia akan melemahkan calon dan calon tidak lagi boleh berfungsi dengan baik. Inilah pada pandangan Pak Zad yang ada dalam pemikiran Salahuddin Ayob yang paling utama.

b. PEMIKIRAN SALAHUDDIN AYOB 2 : STRATEGI UNTUK SENTIASA MENYERANG.

Dalam pemikiran beliau ialah jentera BN tidak boleh dibiarkan dalam keadaan menyerang. Ini kerana kawasan Bagan Pinang adalah kubu kuat UMNO dan sudah tentu BN akan mengunakan semua kemudahan yang ada samada kemudahan kerajaan Negeri atau kemudahan kerajaan Persekutuan. Ini bermakna kalau BN dibiarkan menyerang, BN akan mengunakan kemudahan tersebut. Oleh itu didalam pemikiran Salahuddin Ayob, PAS dan Pakatan Rakyat perlu sentiasa menyerang mengunakan isu-isu seperti faktor calon BN, isu-isu domestik di Bagan Pinang iaitu kegagalan ADUN lama dalam menjaga pengundi Bagan Pinang dan isu-isu nasional yang melibat prestasi kerajaan Persekutuan seperti isu kenaikan harga minyak, isu kuil hindu di Shah Alam, kes kepala lembu di Shah Alam yang kaitan dengan pengundi India dan kegagalan parti-parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan menjaga pengundi-pengundi Cina.

Jentera PAS dan Pakatan Rakyat akan menyerang mengunakan isu-isu ini sebagai bahan kempen samada di dalam ceramah mereka, melalui internet, melalui bahan-bahan cetak yang diedarkan kepada pengundi,kempen rumah ke rumah dan melalui kenyataan-kenyataan akhbar. Apa yang berlaku strategi “attack” ini akan menyebabkan calon dan jentera BN akan menjadi sibuk kerana mereka terpaksa menjawab semua isu yang di kemukan oleh jentera PAS dan Pakatan Rakyat. Situasi kesibukan yang sengaja diciptakan oleh pemikiran Salahuddin Ayob akan juga melemahkan jentera BN kerana ia masih berkedudukan defensif dan tidak menyerang, ia sudah pastinya BN akan terus ketinggalan dalam perlumbaan ini. Inilah strategi permikiran Salahuddin Ayob yang mahu memerangkapkan jentera BN.

c. PEMIKIRAN SALAHUDDIN AYOB 3 : STRATEGI UNTUK MENGUASAI PEMIKIRAN JENTERA BN.

Dalam pemikiran Salahuddin Ayob,strategi ini adalah sama dengan strategi yang digunakan Anwar Ibrahim apabila mencanangkan kepada seluruh dunia yang tarikh 16 September 2008 Pakatan Rakyat akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Kenyataan Anwar Ibrahim telah berjaya menguasai pemikiran majoriti rakyat Malaysia yang percaya dan yakin akan berlaku. Inilah yang cuba di fikirkan oleh Salahuddin iaitu untuk menguasai pemikiran pengundi-pengundi Bagan Pinang dan rakyat Malaysia seluruhnya. Apa yang jelas Salahuddin Ayob dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk psikologi seperti UMNO akan mengunakan isu perkauman untuk berkempen, Pakatan Rakyat dalam keadaan menyerang, Pakatan Rakyat akan memberikan kejutan di Bagan Pinang, Pakatan Rakyat akan menang walau ia kawasan UMNO, SPR perlu melihat semula isu pengundi pos dan pengundi India jangan undi BN kerana BN tidak menolong orang-orang India.

Kenyataan-kenyataan tersebut adalah berbentuk psikolog dan ia bertujuan untuk memasukkan setiap perkataan dalam pemikiran pengundi dan apabila ia di ulang-ulang dalam kempen sudah tentu pengundi-pengundi akan mulai mempercayainya. Maknanya Pakatan Rakyat sudah berjaya untuk menguasai pemikiran pengundi-pengundi. Bagi pemikiran Salahuddin Ayob strategi ini sekiranya berjaya di lakukan,akan menyukarkan jentera BN untuk berkempen.

Secara kesimpulan analisa untuk membaca pemikiran Salahuddin Ayob adalah berdasarkan teori kemungkinan dan ia mungkin betul dan mungkin juga tidak betul. Tetapi pada realitinya daripada kenyataan-kenyataan dari beliau dan pemimpin atasan Pakatan Rakyat analisa ini mungkin ada kebenarannya.Cuba kita renungi kata-kata SUN TZU “Strategy without tactics is the slowest route to victory, tactics without strategy is the noise before defeat”.

Thursday, September 24, 2009

BAGAN PINANG : “THE DANGER OF MAKING FALSE MOVES”

Kenyataan di atas adalah kenyataan dari Presiden Eisenhower yang memberi peringatan kepada kepimpinan CIA dalam mereka menguruskan isu CUBA pada tahun 1960. Peringatan dibuat oleh Presiden Eisenhower selepas CIA telah gagal dalam operasinya di Cuba dalam usaha mereka menjatuhkan Fidel Castro. Bagi Pak Zad nasihat President Eisenhower ini ada relevennya dengan apa akan berlaku di Bagan Pinang, sekiranya strategi yang dipilih adalah salah dan tidak sesuai serta di buat secara terburu-buru. Dalam analisa Pak Zad dalam sembang-sembang Pak Zad yang lalu,membuktikan perkara tersebut wujud.

“The danger of making false moves” membawa makna pertamanya ialah bahayanya membuat sesuatu tindakan ataupun pergerakan yang silap. Dalam konteks ini Presiden Eisenhower telah merujuk kepada tindakan-tindakan CIA dalam usaha mereka menjatuhkan Fidel Castro dengan melakukan satu tindakan-tindakan yang ternyata silap dan akhir memberikan kesan yang amat negatif kepada imej Amerika ketika itu. Maknanya setiap tindakan yang dibuat perlulah berhati-hati dan teliti sebelum ia hendak dijadikan satu strategi yang berkesan. Sekiranya ia tidak di buat berhati-hati ia akan mengundang padah dan bahaya kepada tindakan-tindakan susulannya nanti.

Jika dikaji di Bagan Pinang pada peringkat awal ini, ada beberapa tindakan yang telah dibuat yang berlandaskan kepada tindakan-tindakan bahaya seperti Pakatan Rakyat menuduh UMNO akan mengunakan isu perkauman dalam kempen mereka (kenyataan Salahuddin Ayob, Pengerusi Pilihanraya Kecil PAS di Bagan Pinang), dan pengunaan Isu-isu agama Hindu seperti isu kepala lembu dan perpindahan kuil di Shah Alam (S.Manikavasam PKR Supreme Coucil Member), ini akan menyebabkan Barisan akan mengaturkan strategi balas berdasarkan kepada perkauman dan keagamaan.

Kesannya amat bahaya sekali kerana tindakan ini dibuat berdasarkan satu bacaan iaitu untuk memenangi hati pengundi Cina dan India, yang isyaratnya ialah UMNO/Barisan gagal untuk menjaga kepentingan Cina dan India dan Pakatan Rakyat telah melakukan dengan baik sejak mereka menjadi kerajaan di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Tetapi hakikatnya tidak kerana banyak bukti menunjukkan keresahan di kalangan kaum berlaku seperti isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, isu penjualan arak di Selangor, dasar pembinaan rumah ibadat di Selangor, isu robohnya Pusat Penyembelihan Babi di Alor Star, isu kepala lembu di Selangor dan lain-lain lagi. Apapun “the danger of making false moves” yang dibuat oleh Pakatan Rakyat ini akan menjerat kepala mereka sendiri kerana tindakan tersebut seolah-olah satu penipuan kepada pengundi Melayu kerana mereka telah lebih menjaga hati pengundi orang-orang Cina dan India, dan mereka percaya rakan mereka iaitu PAS boleh “handle” pengundi Melayu yang beragama Islam. Jadi Pakatan Rakyat dalam keadaan ini mengunakan keadah “Divide and Rule”. Kaedah ini akan mengundang satu “resistance” di dalam masyarakat.

Kenyataan “the danger of making false moves” juga memberi maksud kedua iaitu bahayanya sekiranya mengunakan satu pergerakan palsu, yang membawa makna satu tindakan atau pergerakan yang dibuat adalah semata-mata untuk mengabui mata musuhnya seolah mereka telah mengambil tindakan itu, tetapi hakikatnya ialah itu bukan tindakan sebenarnya. Strategi ini selalu di gunakan untuk membaca respond kepada musuh dan seterusnya tindakan-tindakan susulan yang di buat untuk melawan semula strategi musuh. Apa bahayanya di sini ialah ia akan mengundang satu konfliks sekiranya “moves” tersebut mengancam “opponent” sudah tentunya akan adanya tidakan balas yang lebih aggresif.

Sekiranya kita kaitkan dengan apa yang berlaku di Bagan Pinang, strategi untuk “making false moves” telah di lakukan dengan baik sekali oleh Pakatan Rakyat dengan mencipta tindakan-tindakan sensitif seperti tindakan-tindakan memenangi hati pengundi Cina dan India melalui dakwaan-dakwaan yang UMNO/Barisan gagal menjaga masyarakat Cina dan India dan lebih menjaga masyarakat Melayu dan mereka menunggu respond daripada UMNO/Barisan, sudah tentunya UMNO/Barisan akan menjawab dakwaan tersebut dengan tindakan-tindakan yang agresif. Tetapi jika di kaji secara mendalam ia adalah satu tindakan “false moves” iaitu tidak benar kerana apa yang di analisa di para 4 dalam artikel ini adalah jelas Pakatan Rakyat telah membuat satu pembohongan dan ini yang dinyatakan sebagai “the danger” kerana ia akan mengundang satu konflik kerana dinyatakan di atas UMNO/Barisan akan mengambil tindakan untuk mempertahan imejnya. Mungkin matlamat Pakatan Rakyat agak berjaya kerana dapat membaca tindakan-tindakan UMNO/Barisan tetapi tindakan ini menimbulkan satu situasi yang cukup bahaya didalam masyarakat.

Berdasarkan analisa di atas, jelas peringatan Presiden Eisenhower ini yang dibuat pada tahu 1960, masih relevan hingga ke hari ini dan ia juga satu peringatan kepada mana-mana Parti Politik yang bertanding perlu bertanggung jawab jangan sewenang-wenang mengunakan “false moves” hanya untuk di jadikan satu strategi dan akhir bahaya telah di undang dan kesannya mungkin akan akan berlakunya konflik yang besar. Akhir sekali kenyataan Presiden Dwight Eisenhower “I have suffered an eight-year defeat on this” perlu di jadikan pendoman oleh para strategis di Bagan Pinang.

Sunday, September 20, 2009

BAGAN PINANG : PANDANGAN DR MAHATHIR TERHADAP ISA SAMAD DAN SAMY VELLU.

Dalam politik Malaysia, apabila Dr Mahathir bersuara sudah tentunya akan menimbul satu situasi yang agak kelam kabut tak kira untuk Parti Kerajaan ataupun Parti Pembangkang. Kita masih ingat lagi suara-suara Dr Mahathir yang begitu nyaring dan tegas mengkritik dan memberi komen kepada kepimpinan Pak Lah telah menyebabkan situasi yang hangat kepada pentadbiran Pak Lah walaupun Pak Lah agak cool dalam ‘merespond’ kritikan Dr Mahathir. Itulah aura yang ada pada Dr Mahathir. Apabila beliau yang menyatakan sesuatu, ia dibuat dengan hujah-hujahn yang cukup teliti dan beliau sentiasa mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang perkara yang di suarakannya.

Oleh itu apabila Dr Mahathir menyatakan “ Datuk Seri Samy Vellu akan menjadi liability kepada Barisan Nasional pada pilihanraya umum akan datang di sebabkan kepimpinannya yang gagal”, maknanya Dr Mahathir sudah mengkaji bahawa Samy Vellu sudah berada di penghujung jalan dan Samy Vellu patut undur diri, demi memastikan pilihanraya umum yang akan datang Barisan Nasional masih relevan. Jelas sekali Dr Mahathir melihat dalam senario pilihanraya umum ke 13 yang survival Barisan Nasional terletak di tangan pengundi dan pengundi pilihanraya umum ke 13 adalah cerdik terutamanya pengundi-pengundi India yang muda.

Kata Dr Mahathir “ You gagal pimpin MIC sampai you sendiri kalah,” dan tambah beliau lagi “Pemimpin Malaysia belum faham apabila dia gagal,dia patut dengan sendiri letak jawatan,tak payah orang suruh. Bila you gagal, you punya parti gagal. Dia bertanggungjawab”. Jelas sekali hujah Dr Mahathir memberi satu analisa perbandingan yang menarik mengenai Samy Vellu. Kalau kita ambil analisa Dr Mahathir untuk kita kaitkan dengan Bagan Pinang, kita akan dapati impaknya ialah kita jangka BN akan bergitu sukar untuk menang.

Ini di akui oleh Dr Mahathir “ Kalau tahu seseorang akan menyebabkan kekalahan BN,itu sudah menjadi masalah BN,bukan masalah MIC lagi. Kita tak boleh kata dok tak campur tangan. Ini urusan BN. Kerana dia BN kalah“. Cukup panas kenyataan beliau tentang Samy Vellu. Ini satu perang psikologi yang diutarakan oleh Dr Mahathir kepada semua ahli-ahli MIC dan kepimpinan MIC yang baru, supaya mereka mula untuk berfikir semula adakah mereka perlu nahkoda baru atau pun buat sesuatu. Kita tak perlu tunggu pilihanraya umum yang akan datang, kita perlu hanya melihat pilihanraya kecil Bagan Pinang kerana di sinilah ukuran survival MIC samada boleh memenangi hati pengundi India di sini ataupun gagal. Bagi Dr Mahathir amat sukar kerana Samy Vellu masih disitu.

Manakala komen Dr Mahathir juga menyentuh Isa Samad yang di jangka akan menjadi calon di Bagan Pinang. Beliau berkata “ Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional(BN) bagi pilihanraya kecil di Bagan Pinang”. Ini satu strategi untuk menyatakan kepada kepimpinan UMNO di awal permainan psikologi ini, supaya mereka membuat satu pilihan yang tepat.

Kata Dr Mahathir dengan terus terang “ Tan Seri Isa Samad sudah di dapati bersalah,kalau UMNO letak juga bermakna bahawa UMNO tak ambil berat tentang kes-kes macam ini”. Ia merupakan satu kenyataan provokasi kepada kepimpinan UMNO yang sedang memilih calon-calon yang sesuai untuk Bagan Pinang. Bagi Dr Mahathir analisanya cukup mudah “ Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ,kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap UMNO”. Jika diteliti kenyataan Dr Mahathir ini, UMNO akan berhadapan dengan satu situasi yang sama seperti di Kuala Trengganu dan di Permatang Pasir yang calonnya mempunyai masalah yang dihidu baunya oleh pembangkang dan mereka telah mengumpul semua maklumat calon tersebut dan mereka akan dedahkan pada masa yang sesuaian nanti dan di kedua-dua kawasan tersebut pembangkang telah gunakan isu itu pada pertengahan kempen.

Apakah perkara ini akan berlaku di Bagan Pinang? Jawapannya ialah pasti akan berlaku kerana sehingga ke saat ini, Pakatan Rakyat masih berdiam diri untuk memberi respons balas kepada cadangan Isa Samad sebagai calon. Mungkin berdiam diri kerana mereka mahukan Isa Samad bertanding kerana mereka sudah mempunyai maklumat-maklumat peribadi yang boleh menganggu gugat krebiliti calon itu. Maknanya mereka sudah bersedia dan tunggu saja Isa Samad menjadi calon. Ini semua adalah teori jangkaan dan teori kemungkinan ia mungkin betul dan mungkin juga tidak betul.

Ini lah kelebihan Dr Mahathir dalam sudut jauhnya ,beliau boleh memberi komen dan kritikan yang pedas kepada dua pemimpin veteran Barisan Nasional iaitu Samy Vellu dan Isa Samad. Beliau boleh nampak satu masalah besar kepada Barisan Nasional iaitu tewas di Bagan Pinang dan tewas pilihanraya Umum yang akan datang. Para strategist politik UMNO dan Barisan perlu membaca kenyataan Dr Mahathir dengan lebih teliti kerana di setiap patah perkataannya adalah kenyataan berunsur strategi.