Mengikut Tan Sri Aziz Yusoff (Pengerusi SPR) “Those aged 21 to 39 made up 50.39% of the electorate …” dan ini cukup menarik perhatian kita kerana data ini menunjukkan Bagan Pinang mempunyai jumlah 6885 pengundi muda dan 6779 pengundi yang umurnya antara 40 tahun ke atas. Ini menunjukkan jumlah pengundi muda melebihi sebanyak 0.61% iaitu sebanyak 105 orang dari pengundi yang melebihi umur 40 tahun keatas.
Apakah relevannya data tersebut di atas dengan strategi politik parti-parti politik yang bertanding? Jawapan yang paling tepat ialah jumlah pengundi muda ini akan menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana parti politik ataupun individu-individu yang bertanding. Ini adalah kerana jumlahnya melebihi 50% dan juga perlu dilihat bahawa pengundi-pengundi muda mempunyai pengaruh yang kuat kepada pengundi-pengundi yang berumur 40 tahun ke atas.
Tidak susah untuk memahami makna majoriti kerana jumlah yang besar atau majoriti akan menunjukkan pengundi muda mempunyai undi yang cukup sekiranya mereka membuat keputusan untuk menolak mana-mana parti politik yang bertanding di Bagan Pinang sama ada UMNO/Barisan ataupun Pakatan Rakyat. Oleh itu setiap parti yang bertanding akan memasang strategi-strategi yang berkesan untuk memenangi hati pengundi muda dan seterusnya mereka terjemahkan ke dalam mengundi calon UMNO/Barisan atau Pakatan Rakyat.
Tetapi untuk memahami makna pengundi muda mempunyai pengaruh yang kuat kepada pengundi-pengundi yang berumur 40 tahun ke atas memerlukan satu analisa yang terperinci. Walau bagaimanapun secara realistiknya berdasarkan pengalaman analisa daripada keputusan pilihanraya-pilihanraya yang lepas sama ada umum ataupun pilihanraya kecil, ada bukti yang menunjukkan pengundi muda cukup rapat dengan pengundi tua atau veteran dan perhubungan tersebut mungkin kerana ia ada kaitannya dengan pertalian saudara atau kekeluargaan seperti anak dan ibu-bapa ataupun lain-lain pertalian darah.
Dua analisa ringkas di atas menuntut sama ada UMNO/Barisan ataupun Pakatan Rakyat untuk melayan mereka dengan sebaik mungkin. Ini membawa makna kedua-dua parti tersebut perlu mengatur satu strategi yang paling berkesan supaya pengundi-pengundi muda ini dapat memahami aspirasi kempen parti-parti politik ini. Apa yang penting UMNO/Barisan dan Pakatan Rakyat jangan menggunakan kempen yang memperbodohkan para pengundi seperti janji-janji palsu, kempen memburukkan calon-calon, kempen datang dan pergi (hari ini datang esok pergi), kempen menggunakan isu-isu sensitif dan lain-lain lagi.
Strategi yang paling berkesan ialah strategi yang menggunakan pendekatan rasional, berhemah, diplomasi dan beretika. Sekiranya ini dapat dilakukan maknanya parti-parti yang bertanding telah menghormati dan mengiktirafkan pengundi-pengundi muda sebagai pengundi yang cerdik dan bijak. Tetapi ia mungkin amat sukar dilakukan oleh parti-parti yang terlibat kerana setiap parti akan melakukan provokasi dalam setiap kempen mereka dan sudah tentunya akan berlakunya tindakan dan strategi provokasi balas antara satu sama lain. Akhirnya pengundi-pengundi akan di perbodohkan dengan kempen-kempen kotor dan penuh dengan fitnah.
Renungilah apa yang dikatakan oleh Tan Sri Aziz Yusof (Pengerusi SPR) “We have repeatedly reminded political parties and their members and supporters of their things they are prohibited from doing during campaigning and on polling day, but there are those who still fail to heed the regulations”. Apa pun kita akan tunggu dan lihat apakah strategi yang akan UMNO/Barisan dan Pakatan Rakyat gunakan di Bagan Pinang dalam menarik dan memenangi hati pengundi muda.
No comments:
Post a Comment