Tuesday, September 29, 2009

PILIHANRAYA BAGAN PINANG : TRANSFORMASI PEMIKIRAN PENGUNDI-PENGUNDI CINA DAN INDIA BAGAN PINANG.

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang akan menjadi penentu kepada persoalan samada pengundi mengundi berdasarkan kepada sentimen persekitaran domestik ataupun persekitaran luaran. Maksudnya ialah samada pengundi Bagan Pinang akan terpengaruh dengan isu-isu kempen dalaman iaitu persekitaran Bagan Pinang (lokaliti) ataupun mereka terpengaruh dengan isu-isu luaran iaitu nasional.

Dari apa yang dinyatakan melalui kenyataan pemimpin-pemimpin politik samada Barisan ataupun Pakatan Rakyat, semua isu-isu samada domestik atau luaran akan menjadi isu-isu utama di dalam kempen mereka. Strategi parti-parti politik ialah untuk menghangatkan persekitaran, mereka perlu memainkan isu-isu ini, tetapi yang paling disukai oleh para strategis parti-parti politik ialah isu-isu luaran seperti isu nasional diluar dari Bagan Pinang.

Maknanya pengundi-pengundi Bagan Pinang perlu bersedia dengan ketahanan yang kuat kerana momentum kempen yang sudah bermula. Para pengundi akan dihidangkan dengan isu-isu sensitif berdasarkan kaum kerana undinya nanti adalah berdasarkan kaum. Contohnya pengundi Cina akan dihidangkan tentang janji masa depan yang diciptakan oleh Pakatan Rakyat iaitu keadilan untuk semua dan ketuanan Malaysia. Sudah tentunya ia satu cabaran yang hebat kepada MCA dan Gerakan untuk membalas hujah untuk memenangi hati pengundi Cina. Dari segi daya penarik sudah tentu strategi kempen DAP dan PKR Cina lebih menarik dan maju ke hadapan kerana janji tersebut adalah sesuatu yang mereka sedang tunggu. Tidak hairanlah PAS pada pilihanraya yang lepas mendapat 56% undi Cina dan Barisan hanya mendapat 44%.

Dalam konteks ini bolehkah pengundi Cina membina satu “ transformasi” dari mengundi berdasarkan emosi dan fanatik kepada mengundi yang berdasarkan rasionaliti dan realiti sejarah. Transformasi ini amat diperlukan kerana pengundi Cina juga perlu melihat isu-isu domestik yang berlaku di Bagan Pinang yang stabil dan tidak diracun oleh pemikiran luar. Pertimbangan ini amat penting dan untuk membuktikan pengundi Cina mengundi berdasarkan rasionaliti dan bukan emosi. Tetapi persoalannya bolehkah ia dibuat oleh MCA atau Gerakan, jawapan ialah mereka tak mampu. Oleh itu transformasinya amat sukar tetapi kita masih percaya dan yakin pengundi Cina di Bagan Pinang adalah bijak dan boleh menilai sebelum mengundi.

Pengundi-pengundi India juga memerlukan satu transformasi pemikiran untuk menentukan siapa yang mereka akan mengundi samada Barisan ataupun Pakatan Rakyat. Tetapi apabila dilihat berdasarkan “mood” yang bertiup, pengundi India akan lebih tertarik kepada PKR India yang sentiasa meniupkan lagu-lagu survival masyarakat India yang didakwa masih tertindas dan MIC gagal dalam menjaga masa depan masyarakat India. Maknanya pengundi India masih sukar untuk di transformasikan.

MIC mugkin tidak mampu untuk mengubahkan pemikiran tersebut kerana MIC sendiri juga dalam proses untuk di transformasikan. Jadi apa yang boleh di buat ialah jangan biarkan pengundi India yang mempunyai lebih 20% undi menjadi teman PKR India. Mungkin tindakan PEMUDA UMNO untuk mengerakkan jenteranya ke kawasan estet yang bermajoriti kaum India amat baik. Sekiranya MIC tak mampu mungkin UMNO boleh membantu terutamanya untuk memberi penjelasan kepada pengundi India. Ini boleh memberi satu ruang baru kepada pengundi India untuk mendapat maklumat yang betul daripada UMNO yang dijadikan Kambing Hitam oleh Pakatan Rakyat. Maknanya tranformasi pengundi India agak sukar tetapi tidak semestinya mereka tidak boleh berubah.

Mungkin kenyataan Ketua Puteri Sabah boleh menjadi sesuatu pendekatan yang boleh menggerakkan proses transformasi tersebut, katanya “pendekatan ‘satu dengan satu‘ iaitu mendengar masalah rakyat dan cuba mengatasinya akan terus digunakan di Bagan Pinang kerana ia berkesan dalam mendekati pengundi dan menjelaskan dasar kerajaan BN”.Katanya lagi “Dengan mendengar luahan hati pengundi dan menjelaskan kekeliruan yang membuatkan mereka ragu-ragu memilih BN, mereka akan lebih memahami kebaikan kerajaan BN”. Ini mungkin jawapannya samada pengundi Cina atau India boleh ditransformasi pemikiran mereka.

No comments:

Post a Comment