Tuesday, September 22, 2009

BAGAN PINANG : PAKATAN RAKYAT AKAN BUAT KEJUTAN.

Kata Anwar Ibrahim (Suara Rakyat 15-29 Sept) “Pakatan Rakyat akan memberikan sokongan kuat kepada calon PAS yang akan bertanding pada pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang Negeri Sembilan pada 11 Okt depan, seterusnya membuat KEJUTAN untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PR di KAWASAN BN itu.” Kenyataan ini memberi satu isyarat kepada Barisan Nasional bahawa PR sudah bersedia untuk bertanding dan bersaing di Bagan Pinang dengan penuh yakin yang mereka akan menang.

Anwar dan Pakatan Rakyat mengunakan strategi psikologi dengan menyatakan mereka akan membuat “KEJUTAN UNTUK MEMASTIKAN KEMENANGAN BERPIHAK KEPADA PR”. Strategi psikologi ini selalunya digunakan oleh pakar-pakar strategi apabila mereka berada dalam keadaan yang tersepit ataupun dalam keadaan yang mereka tahu mereka akan kalah. Oleh itu pakar-pakar strategi tersebut cuba membina semula keyakinan kepada pasukannya supaya mereka teruskan perjuangan dan tidak mengaku kalah sebelum pertandingan bermula. Pada pemikiran Pak Zad inilah strategi utama Anwar dalam mengururuskan jentera pilihanraya Pakatan Rakyat pada peringkat awal sebelum hari penamaan calon ini.

Perkataan “KEJUTAN” yang di sebut oleh Anwar juga memberi makna yang mereka ingin memerangkap jentera UMNO/Barisan, bahawa Pakatan Rakyat berkedudukan menyerang dan akan terus menyerang jentera UMNO/Barisan. Dengan erti kata mereka tidak mahu memberi ruang kepada UMNO/Barisan untuk menyerang mereka kerana UMNO/Barisan pada kedudukan ini terpaksa mempertahankan diri untuk menjawab isu-isu dan persoalan yang ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat. Maknanya UMNO/Barisan dalam keadaan ”defensive”. Inilah strategi Anwar untuk mengharu-birukan jentera UMNO/Barisan dan akhirnya Pakatan Rakyat akan mendahului dari awal hingga akhir di Bagan Pinang. Kesannya nanti ialah “KEJUTAN” kedua akan berlaku iaitu Pakatan Rakyat akan dapat mengalahkan UMNO/Barisan di kubu kuat UMNO/Barisan.

Analisa tersebut dibuat berdasarkan kepada dua perkara iaitu pertama dari segi rekod pilihanraya, kawasan ini adalah kawasan UMNO dan kedua kawasan ini adalah DUN yang amat kritikal untuk UMNO/Barisan dan Pakatan Rakyat. Kritikal pertama kerana UMNO/Barisan perlu menang untuk memberhentikan tsunami pilihanraya kecil yang menyebelahi Pakatan Rakyat dan kritikal kedua kerana Pakatan Rakyat perlukan kemenangan kali ini untuk meruntuhkan Kerajaan Barisan Negeri Sembilan dan meranapkan kewibawaan Kerajaan Barisan di Persekutuan.

Kedua perkara tersebut telah dilihat oleh Anwar dan kepimpinan Pakatan Rakyat sebagai perkara yang amat penting untuk mereka mengatur strategi yang amat rapi untuk meruntuhkan kekuatan UMNO/Barisan di Bagan Pinang. “ KEJUTAN” juga membawa maksud yang Pakatan Rakyat sudah siap bersedia untuk mengharungi satu pilihanraya kecil yang di atas kertas ia mungkin menyebelahi Barisan Nasional kerana kata mereka ia disebabkan oleh faktor undi pos. Jadi “KEJUTAN” akan berlaku semasa penamaan calon dan semasa berkempen nanti. Pak Zad jangka banyak keadah-keadah dan strategi pilihanraya yang baru akan di buat oleh jentera Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat tidak boleh membuat strategi yang lama dan yang telah di baca oleh jentera pilihanraya Barisan, terutamanya yang kita tunggu ialah bagaimana Pakatan Rakyat mengatur strategi untuk memastikan pengundi pos akan memberi undi kepada calon mereka. Walaupun pada peringkat terkini strategi yang di guna adalah keadah konvensional iaitu menyerang SPR, menyerang peraturan SPR dan juga mereka menyerang pihak tentera dan polis yang anggota-anggota ini adalah paling ramai yang menjadi pengundi Pos. Strategi konvensional ini telah di baca oleh para strategi Barisan,setelah menganalisa kenyataan-kenyataan dari para pemimpin Pakatan Rakyat . Agak jelas strategi Pakatan Rakyat ini tidak berkesan dan kita jangka Pakatan Rakyat mempunyai “senjata” strategi lain yang lebih berkesan untuk mempastikan mereka akan mendapat majoriti undi Pos tersebut. Para strategis UMNO/Barisan tidak boleh berada dalam “ZON SELESA” kerana pada tradisinya pengundi Pos akan memberi undi kepada UMNO/Barisan tetapi dengan para strategis Pakatan Rakyat yang kita kenal sejak beberapa siri pilihanraya kecil yang lepas, mereka lebih bijak dan “up to date” dalam mengatur starategi. Inilah mungkin “KEJUTAN” – “KEJUTAN” yang mungkin dimaksudkan oleh Anwar dan sesungguhnya “KEJUTAN” tersebut akan menyebabkan UMNO/Barisan Nasional mendapat “ heart attack” ataupun “stroke”.

No comments:

Post a Comment